Ads 468x60px

i Luv Islam

Featured Posts

Friday 1 February 2013

Mengapa Pelaburan Tidak Boleh Menjamin Keuntungan?

SOALAN
Saya ada terdengar cermaah Dr di radio dan Dr ada mengatakan sebuah pelaburan Islam tidak boleh dijamin keuntungan dan juga modalnya, oleh pihak pengusaha. Bolehkah Dr memberikan sedikit penjelasan khususnya dari segi fatwa badan ulama Islam dan dalilnya jika boleh. Jutaan terima kasih diucapkan.
 
JAWAPAN
Memang benar, hampir semua orang yang mempunyai lebihan wang untuk melabur sukakan sebuah pelaburan yang rendah risiko dan tinggi pulangannya, namun itu di luar norma kebiasaan dan sifat sesebuah pelaburan menurut perspektif Islam. Islam amat mementingkan kesaksamaan di antara pelabur dan pengusaha dan walaupun jaminan keuntungan itu dianggap sebagai suatu yang sangat disukai, ia sebenarnya mengakibatkan ketidakadilan kepada pengusaha, lantaran terpaksa membayar sesuatu kepada pelabur di ketika mengalami kerugian. Ketidakadilan pula kepada pelabur lantaran akan hanya mendapat peratusan terhad yang dijanij di waktu keuntungan melepasi peratusan yang dijanjikan.
Perlu difahami, rasa tidak adil dan rasa ditindas BUKAN penentu ('illah) halal haram dalam bab riba, justeru jika sekiranya pihak penguasaha secara SUKARELA menawarkan jaminan keuntungan sekalipun, ia tetap haram kerana wujudnya illah pengharaman iaitu, 'hutang wang dengan pulangan lebih yang dijanjikan', tidak kira sama ada kedua-dua pihak suka sama suka atau tidak.
Menyentuh bab jaminan modal dan keuntungan ini, pelbagai resolusi persidangan cendiakawan Fiqh telah dikeluarkan, antara yang paling berpengaruh adalah seperti berikut:-
 
1. Badan Perakauanan dan Kewangan Islam Antarabangsa (AAOIFI)
Majlis Sharīʾah AAOIFI memutuskan seperti berikut:-
يد الشركاء على مال الشركة يد أمانة فلا ضمان على الشريك إلا بالتعدي أو التقصير. ولا يجوز أن يشترط ضمان أي شريك لرأس مال شريك آخر.
Ertinya: “Tanggungan para rakan kongsi terhadap modal perkongsian adalah tanggungan jenis amanah, maka tiada jaminan boleh diberikan kepada rakan kongsi kecuali apabila wujud pencerobohan atau kecuaian. Tidak juga harus disyaratkan jaminan (walau) diberikan oleh mana-mana rakan kongsi kepada modal rakan kongsi yang lain.” (Al-Maʾāyir al-Sharʾiyyah, AAOIFI, hlm 164)
Selain itu, dalam resolusi berkaitan Ad-amānāt, AAOIFI memutuskan sebagai berikut:-
لا يجوز اشتراط الكفالة أو الرهن في عقود الأمانة ..لمنافاتهما لمقتضاها ما لم يكن اشتراطهما مقتصرا على حالة التعدي أو التقصير أو المخالفة وبخاصة عقود المشاركات والمضاربة..ولا يجوز تسويق عملياتها على أنها استثمار مضمون.
Ertinya: “Tidak harus disyaratkan kafālah atau rahn dalam kontrak-kontrak amanah…disebabkan bercanggah keduanya dengan kandungan kontrak amanah, kecuali jika syarat itu hanya terhad kepada ketika wujdunya kecuaian dan pencerobohan atau percanggahan, khususnya dalam kontrak mushārakah dan muārabah..dan tidak harus juga dipromosi seolah produk pelaburan ini adalah sebuah pelaburan yang dijamin”
2. Majallah al-Ahkām Al-ʾAdliyyah
Dicatat di dalam klausa nombor 768:-
الأمانة غير مضمونة، فإذا هلكت أو ضاعت بلا صنع الأمين ولا تقصير منه لا يلزمه الضمان.
Ertinya: “(Kontrak) amanah tidak boleh dijamin, justeru apabila musnah atau hilang bukan disebabkan perbuatan yang pemegang amanah dan buka asbab kecuaian darinya, tidak boleh dimestikan baginya jaminan (gantian)” (Syarh Al-Majallah, Salim Rustam Baz, hlm 426)
Perlu difahami, kontrak pelaburan Islam dikategorikan sebagai kontrak amanah yang mana kedua-dua pihak dalam kontrak amanah seperti mushārakah adalah rakan kongsi yang perlu saling bantu membantu atas dasar keduanya pemegang amanah (amīn) terhadap wang modal masing-masing. Mereka bersepakat menggunakan modal tadi bagi menghasilkan keuntungan yang boleh dinikmati bersama, bukannya satu pihak terpaksa menjamin keuntungan atau keselamatan modal rakan kongsi yang lain. Jika itu dilakukan, ia mencarikkan asas utama kontrak amānah. Tiada alasan munasabah dan boleh diterima hukum Islam boleh menjustifikasikan tindakan terbabit, kecuali apabila terdapatnya pecah amanah dan kecuaian yang jelas. (Al-Maʾāyir al-Sharʾiyyah, AAOIFI, hlm 67)
Seterusnya apabila pemberian duit atas nama pelaburan, kemudian dijanjikan pulangan tertentu dan jaminan modal maka ia akan berubah sifatnya menjadi riba, tetapi nafsu manusia yang sukakan keuntungan pastinya akan merasa tidak selesa dengan hukum ini.

Inilah punca utama pelaburan dengan jaminan keuntungan menjadi batal, berikut Majlis Penasihat Shariah Dunia, AAOIFI berikut teks fatwanya :-
إذا شرط أحد الطرفين لنفسه مبلغاً مقطوعاً , فسدت المضاربة
Ertinya : "Apabila mana-mana pihak menetapkan baginya satu jumlah untung yang tetap dan pasti, maka rosaklah aqad pelaburan Mudarabah itu" ( Al-Ma'ayir As-Syaiyyah, AAOIFI, hlm 240)
Ingin tegaskan sekali lagi bahawa keputusan Majlis Fatwa kebangsaan yang mengharamkan Pelaburan Melalui Internet adaah kerana beberapa ciri tertentu, yang paling utama adalah kerana jaminan dan promosi keuntungan tetap dan jaminan modal dalam sebuah pelaburan. Sebenarnya ciri ini juga telah diputuskan haram secara sepakat Kesatuan Ulama Fiqh Sedunia pada tahun 1992 yang mewartakan :
"إنه لا يجوز في المضاربة أن يحدد المضارب لرب المال مقداراً معيناً من المال , لأنه يتنافى مع حقيقة المضاربة ولأنه يجعلها قرضاً بفائدة"
"Sebarang pelaburan yang mana pihak pengusaha (mudarib atau syarikat) menjamin satu kadar pulangan tertentu kepada pelabur (peserta), maka ia adalah haram oleh kerana ia telah menukar sifat pelaburan secara Islam kepada elemen pinjaman dengan janji faedah Riba" ( Majma Fiqh Al-Islami, Qarar wa Tawsiat)

Malah Ijma ( persepakatan ulama ) dalam hal ini juga telah ada, ia di catat di dalam Keputusan Majlis Kesatuan Fiqh Sedunia apabila disebutkan:
وقد أجمع الأئمة الأعلام: على أن من شروط صحة المضاربة، أن يكون الربح مشاعاً بين رب المال والمضارب، دون تحديد قدر معين لأحد منهما،
Ertinya : "Telah ijma seluruh imam-imam (mujtahid) di mana termasuk dalam syarat sah sesebuah pelaburan "mudarabah" itu adalah mestilah pembahagian keuntungan dibuat secara nisbah untuk si pelabur dan pengusaha tanpa menentukan jumlah tertentu bagi sesiapa antara mereka "
Maka jika ditentukan 2.5 % dari modal akan diberi sebagai untung atau 250 % dari modal sebagai untung atau RM 150 setiap bulan, maka ia adalah sama bercanggah dengan nas fatwa di atas, kerana ia sudah ditetapkan, berbanding cara yang sah di sisi Islam iaitu meletakkan peratusan 30 % dari keuntungan ( jika ada)..maka jumlah hanya akan diketahui apabila perusaha itu sampai tempoh matangnya , kiraan untung akan dibuat tatkala itu, dan barulah boleh diketahui berapa jumlah 30 % dari untung itu. Malah jika tiada untung, maka tiadalah guna lagi 30 % itu.

BEBERAPA DALIL
Selain dalil hadis yang telah disebutkan banyak kali sebelum ini dan juga dalil Al-Quran yang melarang sesama manusia memakan harta yang lain secara bathil. Antara dalil tambahan yang menunjukkan jaminan sebegitu tidak dibenarkan adalah dari kata Sayyidina Ali :-
لا ضمان على من شورك في الربح
Ertinya : “Tiada jaminan ke atas sesiapa yang dikongsi keuntungan dengannya.” (Al-Mughni, Ibn Qudāmah, 5/32)
Jika terdapatnya jaminan keuntungan atau jaminan modal, ia juga akan mencanggahi prinisp asal pelaburan Islam yang meletakkan konsep :-
الغنم بالغرم
Ertinya: Keuntungan adalah melalui penanggungan risiko. (Al-Qawāʾid Al-Fiqhiyyah, Al-Nadwi Ahmad.A, Dār Al-Qalam, Syria, 2000), p. 411; Durar al-Ahkām Sharh Majallah Al-Ahkam, nombor 87, 9/90)
Dalam keterangan kaedah ini disebutkan:
من ينال نفع شيء، يجب أن يتحمل ضرره
Ertinya: Sesiapa yang berkehendak mendapatkan manfaat dari sesuatu, mestilah baginya menanggung kemudaratannya. (Durar al-Ahkam Sharh Majallah Al-Ahkam, nombor 85, 9/90)
Bermakna, pihak yang boleh menerima keuntungan adalah pihak yang sama-sama bersusah payah menanggung risko kerugian, sejurus mereka cuba menghilangkan risiko terbabit, bahagian keuntungan tidak lagi wajar diserahkan kepada mereka yang terjamin.
Hasilnya, dalam kontrak pelaburan Islam, kesemua pihak pelabur dan rakan kongsi akan sama-sama menanggung kebolehrugian, atas dasar tersebut kesemua mereka berhak menerima keuntungan. Manakala keuntungan (jika ada) boleh dikongsikan sama ada berdasarkan peratusan modal yang disuntik atau apa-apa nisbah yang disepakati. Demikian menurut athar dari sayyidina ‘Ali kw :
الربح على ما يصطلحا عليه الشركاء والخسارة على قدر المال
Ertinya : Pembahagian keuntungan adalah diatas apa yang dipersetujui manakala kerugian mestilah di atas nilai modal masing-masing. (Musannad Ibn Abi Shaybah, matba’ah al-Rushd, Riyadh, jil 4, hlm 268)
Sekian. rujukan informasi islam

Thursday 31 January 2013

Pelaburan ASB, ASN,ASW dan ASM tidak patuh Syariah

 
Di Selangor hukum pelaburan di ASB, ASN dan seumpamanya adalah seperti berikut:

“Setelah meneliti setiap pandangan ahli mesyuarat dan hujah-hujah yang dikemukakan, maka Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke 2/2011 yang bersidang pada 12hb. April 2011M bersamaan 8 Jumadal Ula 1432H telah bersetuju memutuskan bahawa Pelaburan Amanah Saham Nasional (ASN), Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Seumpamanya adalah tidak halal kerana masih belum menepati hukum syarak dengan alasan seperti berikut:-

1. Skim Amanah Saham Nasional ( ASN ) dan Amanah Saham Bumiputera ( ASB ) secara jelas terlibat dalam aktiviti pelaburan yang bercampur-campur antara patuh syariah dan tidak patuh syariah sebahagian besarnya adalah daripada sektor kewangan konvensional. Ini berdasarkan hadis riwayat Jabir Al-Ja’fi daripada Ibnu Mas’ud
Maksudnya : “ Tidak bercampur antara yang halal dan yang haram, melainkan mengalahkan yang haram atas yang halal . ”

2. Skim Amanah Saham Nasional ( ASN ) dan Amanah Saham Bumiputera ( ASB ) diklasifikasikan sebagai dana unit amanah tidak patuh syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti kerana terlibat dalam pelaburan tidak lulus syariah iaitu pelaburan dalam kaunter perbankan konvensional berteraskan faedah melalui Maybank dan pasaran wang.

3. Sumbangan kepada tidak patuh syariah adalah terbesar yang tidak bertepatan dengan kehendak syarak serta kadar yang berubah-ubah ini menyukarkan pelabur untuk membuat pembersihan terhadap hasil dividen.”

Pelaburan ASB, ASN dan seumpamanya di syarikat konvensional adalah seperti berikut:

a. Malayan Banking Berhad 28.49%
b. Fraser & Neave Holdings Berhad 0.95%
c. PNB Structured Investment Fund 0.87%
d. British American Tobacco (Malaysia Berhad) 0.78%

Sehingga kini, semua dana amanah di bawah PNB tidak diklasifikasikan mematuhi syariah. Jika menurut kayu ukur (benchmark) peratusan pelaburan haram dalam sesebuah syarikat yang dibuat oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti hendaklah pada kadar yang minima dan boleh dimaafkan. Walau bagaimanapun, jumlah pelaburan ASB, ASN dan seumpamanya itu telah melebihi daripada tanda aras yang dibenarkan dan sudah menjadikan pelaburan haram menguasai dana pelaburan ASB. Ini menyebabkannya menjadi haram.

Bagaimanapun satu aspek kritikal yang perlu juga diambil kira dalam mengesahkan pelaburan ASB ialah berkenaan aspek akad pelaburan yang digunakan. Adakah ia mudabarah atau musyarakah atau apa? dan jika mudarabah, perlu diingat bahawa jika akadnya tidak sah dari sudut syara’ maka seluruh pelaburan adalah batal tanpa mengira dalam industri halal atau haram ia dilaburkan.

Maka setelah dirujuk ke PNB dan buku prospektus ASB kita dapati bahawa termaktub bahawa modal (capital) pelaburan ASB adalah di jamin oleh PNB yang bermakna syarat dalam akad pelaburan ini telah bercanggah dengan syarat pelaburan Mudarabah dalam Islam.

Menurut mazhab Syafie, akad pelaburan tadi adalah batal. Malah modal pelaburan tidak boleh dijamin oleh pihak yang menguruskan pelaburan juga di fatwakan oleh Majma’ Fiqh Islami atau OIC Islamic Fiqh Academy dalam konvensyen ke-9 yang mana telah diputuskan bahawa jaminan modal hanya dibenarkan jika ia datang dari pihak ketiga. Dan dengan syarat ia tidak dimasukkan di dalam kontrak mudarabah.

Adakah perkara ini dipelihara oleh ASB? tidak sama sekali kerana mereka langsung tidak mempunyai Penasihat Syariah. Secara mudahnya, untuk mengenalpasti sesuatu institusi kewangan itu mematuhi syariah atau tidak, sila rujuk sama ada institusi itu mempunyai panel Penasihat Syariah ataupun tidak. Sepatutnya jika Malaysia ingin menjadi Global Islamic Banking and Finance Hub, sebagaimana diwarwarkan, PNB harus diislamisasikan terlebih dahulu. Gunakan konsep mudarabah dalam pelaburan mereka dan melabur di kaunter halal sahaja.

Ada banyak lagi kaunter halal untuk melabur walaupun kurang sikit dividen, biar halal dan berkat walaupun sedikit, daripada banyak tapi haram dan merosakkan kehidupan kita.

Persoalan

a. Bagaimana dengan kedudukan orang Islam yang telah menyertai dan membuat pelaburan ASB, ASN dan seumpamanya?

Kedudukan orang Islam yang telah menyertai dan membuat pelaburan ASB ini sekiranya mereka telah diberitahu bahawa pelaburan ASB tersebut adalah haram, maka mereka hendaklah meninggalkan ASB dan menyertai dana-dana amanah lain yang mematuhi syariah. Sekiranya mana-mana umat Islam yang tahu tetapi tidak meninggalkan ASB tersebut maka mereka telah melakukan dosa yang melibatkan diri mereka dengan riba.

Sebagaimana Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.” (Surah Al-Baqarah: 275)

b. Adakah mereka perlu mengeluarkan semua duit yang ada dalam akaun ASB mereka?

Ya, mereka perlu mengeluarkan kesemua duit yang ada dalam ASB tersebut meliputi wang pokok, dividen, pelarasan dan bonus tahunan. Menurut Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi dalam kitabnya Fatawa Mu’asirah, beliau telah memutuskan bahawa wang-wang faedah yang diperolehi secara haram adalah haram secara yakin untuk ditinggalkan begitu sahaja di dalam akaun-akaun konvensional.

Sekiranya tidak dikeluarkan, ia seolah-olah seperti menolong bank-bank atau institusi kewangan konvensional tersebut menggunakan wang-wang faedah yang ditinggalkan itu untuk tujuan yang bertentangan dengan hukum syarak.

c. Adakah kesemua wang-wang yang disimpan dalam ASB itu menjadi haram?

Tidak, yang haram adalah faedah atau bonus yang terhasil daripada simpanan pokok tersebut. Wang pokok adalah tidak haram.

d. Bagaimana dengan kedudukan wang-wang ASB tersebut?

Kedudukan wang-wang tersebut adalah seperti berikut:
i. Wang pokok yang disimpan adalah tidak haram dan boleh digunakan untuk kegunaan peribadi dan keluarga serta boleh dipusakai.
ii. Wang faedah, pelarasan, bonus atau apa-apa sahaja tambahan yang terhasil melalui penyimpanan tersebut adalah haram dan dianggap sebagai riba, tidak boleh digunakan untuk tujuan peribadi, keluarga dan kepentingan sendiri serta tidak boleh dipusakai. Wang tersebut hendaklah disalurkan kepada Baitulmal bagi tujuan maslahah umum.

e. Adakah pekerja perbankan akan terus menawarkan pakej ASB ini sebagai produk di bank mereka?

Ya, dan kemungkinan masih ada oleh sebab fatwa di peringkat kebangsaan mengharuskannya. Pada masa yang sama pekerja perbankan tersebut tidak diperjelaskan secara lengkap berkenaan kedudukan ASB dan seumpamanya tersebut di negeri Selangor. Oleh yang demikian, mudah-mudahan penerangan ini mampu memperjelaskan anda dan sampaikan kepada mana-mana umat Islam.

f. Bagaimana dengan mereka yang telah membuat pinjaman ASB? Mereka sudah terikat dengan perjanjian dan bagaimana dengan kedudukan mereka?

Sesuatu yang sukar bila mana transaksi konvensional telah dilaksanakan antara anda dengan pihak bank yang menggunakan instrumen pinjaman ASB. Oleh itu, sekiranya anda boleh membatalkan perjanjian tersebut, maka hendaklah anda mengeluarkan wang tersebut daripada akaun ASB dan menyalurkan sebagaimana kaedah yang telah disebutkan di atas. Sekiranya perjanjian tersebut tidak boleh dibatalkan, maka anda hendaklah menghitung jumlah dividen atau faedah yang terhasil dalam pinjaman tersebut dan menyalurkan sebagaimana kaedah yang dinyatakan di atas juga iaitu diserahkan kepada Baitulmal bagi tujuan maslahah umum.

Wallahu a’lam.

INDERA SHAHRIL BIN MOHD SHAHID
Pengurus Harta Baitulmal
Majlis Agama Islam Selangor
Ting 9 & 10, Menara Utara
Bangunan Sultan Idris Shah,
40000 Shah Alam, Selangor
Tel: 603-5514 3570 (DL)
603-5514 3773 (GL)
Fax: 603-5512 4042




Wednesday 30 January 2013

Bagaimana Mengenali Skim Pelaburan Palsu

 
Ciri-ciri pelaburan palsu adalah seperti berikut:
  • Anda dijanjikan pulangan yang tinggi ke atas pelaburan tersebut contohnya, pulangan sebanyak 20%-30% sebulan dengan risiko yang rendah atau tanpa risiko.
  • Anda didesak untuk melabur dengan serta-merta kerana tawaran tersebut adalah untuk masa terhad.
  • Anda disuruh untuk melabur dalam skim yang beroperasi di luar negara di mana anda tidak boleh mengesahkan permis perniagaan tersebut atau mengesahkan skim tersebut daripada laman web mana-mana pihak berkuasa.
  • Anda disuruh melabur dalam skim yang memerlukan anda memberi maklumat peribadi mengenai akaun bank anda, contohnya nombor akaun bank.

Kesan Inflasi Terhadap Nilai Wang Anda

fikirkan anda menyimpan wang di bank dalam simpanan tetap yg memberikan pulangan 3-4% setahun..Jika inflasi semasa 4% setahun berapakah keuntungan anda perolehi?? Jawapannya seperti di bawah:-

Dividen Tahunan (Bank) - Inflasi Tahunan = hampeh..
= 4 - 4 = 0%..


Lihat kesan Inflasi terhadap nilai wang anda.. Bandingkan Kuantiti barang yang diperolehi dengan nilai wang yang sama..Pada tahun 1998 penuh troli, 2005 dah separuh troli dan pada tahun 2012 suku pun tak sampai.

Tuesday 29 January 2013

Anggaran Kerugian Jika Bertangguh Untuk Menyimpan

 

Jadual menunjukkan wang terkumpul pada umur 65 tahun jika anda mulakan Simpanan dalam Tabungan mengikut umur anda sekarang.Simpanan RM100 sebulan (RM1,200 setahun) sehingga umur 65 tahun dengan anggaran pulangan adalah 10 peratus setahun sehingga umur 65 tahun.Jika berlaku PENANGGUHAN, anggaran kerugian adalah merujuk jadual di atas.
 

Saturday 26 January 2013

Simpanan Dan Pelaburan

Selain daripada simpanan, satu lagi cara yang boleh membantu untuk meningkatkan jumlah nilai wang ialah pelaburan. Dalam simpanan, anda akan mendapat semula wang simpanan yang dicampur dengan faedah. Tetapi dalam pelaburan, anda mungkin atau mungkin tidak mendapat semula jumlah yang dilaburkan atau anda mungkin mendapat lebih daripada jumlah awal pelaburan. Risiko pelaburan adalah lebih tinggi daripada simpanan tetapi pada masa yang sama, anda mempunyai potensi untuk mendapat pulangan yang lebih tinggi.

Merancang pelaburan anda
  1. Mengetahui tujuan pelaburan anda
    • Sebelum anda melabur, anda perlu tahu tujuan pelaburan anda. Tujuan / matlamat anda mungkin ialah untuk:
      1. Membeli kereta
      2. Membeli rumah
      3. Menghantar anak-anak anda untuk pengajian tinggi
      4. Pergi bercuti
      5. Merancang persaraan yang selesa untuk masa depan
       Tahu isu utama yang perlu diambil kira apabila melabur
  • jumlah wang yang perlu dilaburkan
  • tempoh pelaburan anda
  • memahami risiko yang terbabit dan tahu tahap kerugian yang anda boleh tanggung
  • ganjaran yang anda berharap daripada pelaburan anda
  • pengorbanan yang anda sanggup lakukan
  • memahami produk yang anda hendak labur
  • merancang pelaburan yang sesuai dengan portfolio keseluruhan anda
  • membandingkan pulangan bagi pelaburan lain yang sama
  • memantau prestasi pelaburan anda secara berterusan berbanding dengan keperluan anda yang berubah-ubah
  • mempunyai fleksibiliti untuk mencairkan pelaburan yang berkenaan ketika anda terdesak
      Tahu strategi dan konsep melabur
  • Pempelbagaian
    • jenis pelaburan yang berbeza terdedah kepada tahap risiko yang berbeza dan dengan pempelbagaian, kerugian dalam sesetengah pelaburan boleh diimbangi oleh perolehan pelaburan lain
    • pempelbagaian dapat meminimumkan risiko dan melindungi anda daripada volatiliti dalam sesuatu kelas aset atau industri.
          Nilai masa wang
  • lebih awal anda melabur, lebih besar pulangan atas nilai wang anda
  • ini disebabkan oleh prinsip faedah kompaun di mana anda memperoleh faedah atas pelaburan asal anda dan atas faedah yang telah anda peroleh daripada pelaburan anda
        Impak inflasi dan cukai
  • inflasi menyusutkan wang nilai; wang yang anda punyai pada hari ini berkemungkinan tidak lagi mempunyai nilai yang akan membolehkan anda membeli jumlah barangan yang sama pada masa hadapan
  • walaupun anda memperoleh pulangan daripada pelaburan, nilai sebenar pelaburan anda mungkin berkurangan disebabkan oleh kesan inflasi
  • matlamat pelaburan adalah untuk menambah wang anda melebihi kadar inflasi
  • cukai juga akan mengurangkan pulangan pelaburan melainkan pelaburan anda mendapat pengecualian cukai
       Hubungan risiko dengan pulangan
  • pelaburan yang “lebih selamat” (seperti simpanan bon) bermaksud bahawa pelaburan asal anda kekal tetapi kadar pulangannya mungkin lebih rendah
  • pelaburan yang menjanjikan pulangan yang lebih tinggi (seperti dana amanah saham ekuiti atau saham) juga mempunyai risiko yang lebih tinggi
       Tahu pelaburan mana yang sesuai untuk anda
  • sebelum anda memilih sebarang produk pelaburan, adalah penting bagi anda memahami pelaburan tersebut terlebih dahulu
  • setiap asset adalah unik dan mempunyai profil risiko pulangan yang berbeza
Mendapatkan nasihat kewangan

Terdapat banyak pihak yang menawarkan nasihat kewangan seperti bank, remisier, perancang kewangan atau ejen insurans, bergantung kepada jenis instrument pelaburan yang terlibat. Walau bagaimanapun, pilih penasihat kewangan secara berhati-hati jika anda memerlukannya. Pastikan mereka berkelayakan dan berpengalaman. Tanyakan soalan dan pastikan anda faham isu dan prosedur yang terlibat. Dapatkan pandangan pihak kedua jika anda masih ragu.

Sumber Maklumat
  • Maklumat mengenai pelaburan boleh diperoleh daripada:
  • Laporan tahunan yang diterbitkan oleh syarikat
  • Surat khabar, jurnal dan majalah
  • Internet
  • Kursus
  • Seminar
Sebelum membuat sebarang pelaburan
  • Memahami pelaburan dan risiko yang terlibat
  • Jangan terburu-buru ketika membuat keputusan. Berhati-hati terhadap taktik penjualan agresif yang memaksa anda membuat keputusan dan bertindak segera.
  • Simpan semua rekod transaksi yang dilakukan
  • Berhati-hati dengan skim yang menjanjikan keuntungan cepat pada tahap risiko yang minima atau tanpa risiko
Sumber: Bank Negara Malaysia

Kuasa Compaund Interest Dalam Pelaburan