“Saya telah bekerja selama 20 tahun tetapi sehingga kini wang simpanan saya
hanya sedikit sahaja. Kadangkala, saya tertanya-tanya kemanakah perginya wang
saya?”
Puan Chong,
Eksekutif
===========================================================
Pernahkah
anda mendengar keluhan sebegini? Jika anda bertanya orang di sekeliling anda,
besar kemungkinan anda akan berjumpa sekurang-kurangnya seorang yang sependapat
dengan Puan Chong.
Jika anda bercadang mengukuhkan kedudukan kewangan,
anda mesti mengenalpasti terlebih dahulu kesilapan pengurusan kewangan yang
lazim dilakukan agar anda dapat belajar
daripadanya.
Kesilapan #1: Gagal
Merancang
Jika anda bertanya kepada orang disekeliling anda,
pasti anda akan dapati ramai diantara kita yang tidak merancang kewangan. Alasan
yang selalu diberikan ialah “Saya sibuk dengan kerja dan keluarga hingga tidak
sempat untuk menguruskan kewangan saya”. Sikap acuh tak acuh ini akan
menjejaskan kedudukan wang anda, contohnya anda akan selalu membayar cukai yang
tinggi, membiarkan pelaburan tidak berkembang dalam tempoh yang lama atau tidak
bijak memilih produk-produk pelaburan/kewangan yang sesuai dengan anda. Dengan
bebanan kerja yang banyak, ramai diantara kita yang tidak memberi keutamaan
kepada pengurusan wang dan membiarkan keadaan menjadi
penentunya.
Sebenarnya, walaupun anda hanya tergolong dalam golongan yang
berpendapatan sederhana, tabiat MERANCANG KEWANGAN akan membolehkan anda menjadi
seorang yang berjaya mengumpul kekayaan di kemudian hari
kelak.
Kesilapan #2: Berbelanja Melebihi
Kemampuan
Dewasa ini, kita sering berbelanja melebihi
kemampuan akibat desakan rakan-rakan dan juga iklan-iklan disekeliling kita.
Saban hari iklan-iklan di TV, surat khabar dan kompleks membeli belah banyak
mempromosikan gaya hidup yang mewah. Telefon bimbit model terkini, kereta mewah
dan juga fesyen terbaru banyak mendorong kita untuk berbelanja diluar daripada
kemampuan. Apatah lagi, ramai yang sanggup menghabiskan duit semata-mata untuk
mengikut arus peredaran masa dan tidak mahu dianggap ketinggalan zaman.
Akibatnya, ramai diantara kita yang hanya mempunyai baki yang sangat sedikit
dalam akaun bank di hujung bulan setelah ditolak pinjaman rumah dan kereta;
bayaran kad kredit, bil-bil dan sebagainya.
Kesilapan #3:
Berbelanja Menggunakan Kad Kredit
Tabiat beli dulu dan bayar
kemudian merupakan perkara biasa dewasa ini. Hampir setiap orang mempunyai
sekurang-kurangnya satu kad kredit. Malah, ramai diantara kita yang memiliki
lebih daripada satu kad. Walaupun kad kredit merupakan satu kemudahan tetapi
ramai orang yang menyalahgunakannya dan menganggap ia adalah suatu alat untuk
kita berbelanja dengan sewenang-wenangnya. Tambahan pula, dengan bayaran minima
setiap bulan, ramai yang akan berpotensi untuk terus berbelanja. Mereka tersalah
anggap mengenai bayaran minima tersebut, dan tidak menyedari bahawa lama
kelamaan ia akan menjadi hutang yang menggunung di kemudian hari. Jika tersilap
langkah, tidak mustahil anda juga boleh menjadi muflis akibat tabiat sedemikian.
Ini adalah realitinya kerana mengikut laporan kemuflisan (bankruptcy report),
peratusan orang yang jatuh muflis sejak kebelakangan ini telah meningkat,
terutama sekali dikalangan golongan muda. Oleh itu, pastikan anda menggunakan
kad kredit secara berhemat. Dengan membuat bayaran minimum setiap bulan, anda
mungkin boleh terus berbelanja, tetapi anda harus ingat bahawa ia akan
menyebabkan anda mengalami kerugian besar di belakang
hari.
Kesilapan #4: Lewat Menabung Untuk Hari
Tua
Ramai diantara kita yang ingin bersara awal. Tetapi untuk
memulakan persaraan, kita mesti memastikan yang kita mempunyai wang yang
mencukupi untuk menampung gaya hidup yang diinginkan selepas bersara.
Walaubagaimanapun, masih ramai diantara kita, terutamanya mereka yang sudah
hampir bersara yang masih bergelut untuk mencapai jumlah simpanan yang
diperlukan. Sepatutnya, setiap kali gaji naik, simpanan kita turut naik. Apa
yang berlaku adalah sebaliknya dimana setiap kali gaji naik, perbelanjaan kita
pula yang bertambah, contohnya pengubahsuaian rumah, kereta baru, menjadi ahli
kelab tertentu untuk bersaing dengan rakan-rakan dan sebagainya. Perbelanjaan
sedemikianlah yang menyebabkan kita sukar menabung untuk hari
tua.
Kesilapan #5: Melabur dalam Produk yang Tidak
Bersesuaian
Terdapat pelbagai produk pelaburan di pasaran.
Untuk memastikan kita melabur dalam produk pelaburan yang menepati profil risiko
dan ganjaran yang diinginkan, kita memerlukan ilmu pengetahuan mengenai
selok-belok pelaburan. Jangan bergantung kepada kata-kata penasihat kewangan
semata-mata kerana ada diantara mereka yang mempunyai agenda tersendiri.
Kadangkala ada penasihat kewangan yang tidak bertanggungjawab dan memberikan
maklumat yang tidak tepat untuk meningkatkan komisen jualan mereka. Jadi
pastikan anda meneliti ciri-ciri sesuatu produk pelaburan tersebut dan mengkaji
kumpulan pengurusannya sebelum melabur.
Kesilapan #6: Tidak
Menabung untuk Waktu Kecemasan
Sesetengah orang beranggapan
yang membeli insurans adalah perbuatan yang membazir wang. Tetapi tahukah anda
bahawa tanpa insurans, kedudukan kewangan kita akan tergugat terutama sekali
jika kita hilang pendapatan/pekerjaan. Keadaan akan menjadi lebih malang jika
orang yang hilang pendapatan tersebut merupakan ketua keluarga atau pencari
nafkah dalam keluarga. Tanpa insuran atau wang simpanan, seluruh keluarga akan
merana dan ketika itu juga agak terlambat untuk memikirkan bagaimana ingin
mencari sumber pendapatan yang lain dengan kadar
segera.
Kesilapan #7: Terlampau Memikirkan Pasal
Wang
Perkara diatas membincangkan tentang keperluan merancang
kewangan dengan baik. Namun, dalam usaha memupuk tabiat yang baik tersebut,
janganlah pula terlampau taksub mengumpul kekayaan sehingga lupa akan
perkara-perkara lain yang amat bermakna dalam hidup kita seperti keluarga,
kesihatan, kepuasan berkarier serta rakan dan taulan. Tanpa perkara ini, hidup
anda tidak akan memberi sebarang makna walaupun anda mempunyai wang jutaan
ringgit.
Akhir sekali, kita perlu sentiasa mengingatkan diri tentang
kepentingan merancang kewangan. Jika kita tidak bersungguh-sungguh dalam membina
kekayaan dan menguruskan kewangan, besar kemungkinan kekayaan tidak akan
berpihak kepada kita.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment