KUALA LUMPUR 15 Mei – Public Mutual Bhd.
(Public Mutual), anak syarikat milik penuh Public Bank hari ini menerima
Anugerah Dana Islam Failaka kategori Pengurus Dana Terbaik di Asia daripada
penasihat Failaka.
Anugerah Dana Failaka Islam ini diwujudkan oleh
penasihat Failaka yang diiktiraf sebagai peneraju dalam penyelidikan dana
Islam.Ia merupakan tanda aras bagi kecemerlangan dalam bidang pengurusan dana
Islam dan melambangkan puncak kejayaan untuk pemenang-pemenang
anugerahnya.
Pengerusi Public Bank, Tan Sri Dr. Teh Hong Piow menerima
anugerah itu yang disampaikan oleh Pengarah Urusan Penasihat Failaka, A. Mark J.
Symth kepada beliau pada Majlis Makan Malam Anugerah Tahunan Public Mutual di
Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam ini.
Hong Piow berkata, ini
merupakan kali kedua Public Mutual menerima anugerah tersebut dan beliau amat
bangga dengan pengiktirafan antarabangsa itu.
”Anugerah ini mempamerkan komitmen Public Mutual yang
sentiasa berusaha untuk memberikan nilai tambah kepada para pemegang
unitnya.”Anugerah ini adalah hasil kerjasama kesemua ahli lembaga pengarah,
badan pengurusan, kakitangan, pasukan agensi dan pemegang-pemegang unit Public
Mutual atas semangat mereka yang membantu Public Mutual mencapai kecemerlangan
ini,”
katanya ketika berucap di majlis tersebut.
Public Mutual
merupakan syarikat unit amanah swasta terbesar di Malaysia dan menguruskan
sebanyak 62 dana untuk lebih 1,800,000 pemegang akaun. Sementara itu, Symth
berkata, Public Mutual menunjukkan prestasi konsisten dalam menguruskan
dana-dana berlandaskan Syariah dan ini terbukti dalam pulangan
dana-dananya.
Pada majlis ini, Public Mutual turut memberi penghargaan
kepada kakitangan yang melaksanakan tugas dengan cemerlang sepanjang
2007.Antara mereka ialah Steven Lim, Grace Loo, Adi Sasteria Nurputra,
Joseph Chan Yew Hong, Hismazaitul Azmy dan S. Ramachandran P. Seevaratnam.