SAMA ada anda bercadang untuk bersara pada usia 55 atau lebih awal lagi, apa
yang penting ialah melengkapkan diri anda dengan perancangan
kewangan yang dapat menjamin kehidupan memuaskan serta bebas daripada
bebanan hutang setelah bersara.
Bagaimana untuk menyiapkan diri untuk
bersara? Tiada jawapan yang khusus untuk soalan ini kerana ia banyak bergantung
kepada gaya hidup yang diinginkan, tahap kesihatan dan juga situasi unik
seseorang itu selepas bersara. Berikut adalah beberapa langkah yang boleh
diambil untuk menyiapkan diri anda daripada segi kewangan sebelum
bersara:
Tetapkan keperluan kewangan
anda
Secara amnya, keperluan perbelanjaan seorang pesara
dianggarkan dalam lingkungan 75 peratus hingga 80 peratus keperluannya ketika
masih bekerja. Berdasarkan keperluan ini, anda perlu membuat penyelarasan sesuai
dengan mengambil kira situasi unik anda seperti kos pendidikan anak dan bayaran
pinjaman perumahan untuk menganggarkan perbelanjaan bulanan yang perlu
ditampung.
Jika anda berhajat untuk mengembara, bercuti, ataupun
mempunyai hobi lain yang membabitkan wang, anda perlu mengambil kira kos ini
ketika membuat perancangan persaraan anda.
Menilai status
semasa
Anda perlu memberi perhatian kepada portfolio pelaburan
yang merangkumi simpanan tambahan serta pendapatan anda. Senaraikan juga semua
komitmen kewangan yang perlu dijelaskan. Sekiranya anda masih bekerja, anggarkan
jumlah wang KWSP atau pencen yang bakal anda terima.
Mengira
wang yang diperlukan
Setelah selesai mengumpulkan semua maklumat
di atas, anda boleh mendapatkan nasihat daripada perancang kewangan ataupun
mana-mana laman web yang menyiarkan artikel mengenai perancangan persaraan yang
boleh anda contohi dalam usaha untuk menyiapkan diri dari segi kewangan sebelum
bersara. Ini penting untuk menilai sama ada wang anda sekarang mencukupi atau
tidak untuk memenuhi keperluan persaraan kelak.
Jika jawapannya tidak,
sekurang-kurangnya, anda boleh mengira berapa banyak lagi wang yang diperlukan.
Sebagai contoh, keperluan tahunan Ali ialah RM50,000 (kira-kira kurang RM4,000
sebulan). Dia menganggarkan bahawa wang simpanan persaraannya akan menjana
pulangan sebanyak tujuh peratus setahun. Justeru, Ali memerlukan
sekurang-kurangnya RM714,286 (RM50,000/0.07) dalam simpanannya untuk menampung
perbelanjaan persaraannya.
Berdisiplin dalam merancang
kewangan
Elakkan daripada membuat pengeluaran wang simpanan
persaraan sewenang-wenangnya dan pastikan ia mencukupi untuk menampung
perbelanjaan sehingga akhir hayat anda.
Setelah menetapkan jumlah wang
yang diperlukan, langkah seterusnya ialah untuk memberikan komitmen penuh kepada
jumlah yang hendak disimpan dan menguruskan portfolio pelaburan anda dengan cara
yang sepatutnya.
Akhir kata, berbelanjalah mengikut keperluan dan cuba
maksimumkan simpanan anda untuk waktu persaraan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment